Pengurangan tarif mampu kurangkan tekanan pengeluar: FMM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurangan tarif mampu meringankan tekanan yang sedang dihadapi oleh pengeluar berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi yang akan berlaku, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

FMM dalam satu kenyataan menjelaskan, kos tenaga yang lebih rendah juga akan membawa kepada pengurangan harga kepada pengguna.

Walaupun persekutuan itu meramalkan cabaran dalam tempoh masa akan datang, FMM berharap satu mekanisme yang berkesan boleh diperkenalkan bagi merangsang industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk melabur dalam inisiatif-inisiatif kecekapan tenaga, ini akan membolehkan industri mengimbangi ketidakstabilan harga tenaga.

"FMM sentiasa mahu berbincang dengan kerajaan bagi membantu mengekalkan daya saing perniagaan selepas melihat kepada faktor-faktor luaran, ketidaktentuan dan kenaikan kos yang telah dikenakan terhadap perniagaan.

"Kami menyokong hasrat kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan tarif elektrik selepas harga arang batu dan gas asli di pasaran global menurun," katanya lagi.

Bagaimanapun, persekutuan itu turut menyuarakan kebimbangan dengan kesan surcaj semasa iaitu sebanyak 2.55 sen/kWj berkuatkuasa 1 Mac 2019.

"Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan penggantungan sebarang surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang akan datang bagi dua tempoh kajian ICPT.

"Penyelarasan selepas penggantungan sementara hendaklah dibuat secara beransur. Surcaj terkumpul yang terakru pada sepanjang tempoh tidak boleh diteruskan semua sekali gus dalam tempoh kajian ICPT yang akan datang," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: