SPA nafi tawar perkhidmatan berbayar untuk lantikan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah membuat laporan polis berhubung penawaran perkhidmatan berbayar kepada mana-mana individu untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

SPA dalam kenyataan berkata, pihaknya nafi terlibat dalam aktiviti berkenaan dan memandang serius terhadap perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu, sindiket penyamaran menggunakan platform dalam talian iaitu Telegram sebagai modus operandi untuk memperdayakan mangsa-mangsa mereka.

“Pihak SPA telah menerima aduan serta mengenal pasti sindiket penyamaran sebagai Ahli Suruhanjaya dan Pegawai Pengurusan Tertinggi SPA yang menawarkan perkhidmatan berbayar kepada orang awam untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

“Sindiket penyamaran yang dikesan ini aktif dalam platform Telegram dengan menggunakan nama serta gambar ahli suruhanjaya dan pegawai pengurusan tertinggi SPA dalam usaha untuk memperdayakan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan tersebut, SPA memberi peringatan dan menasihatkan kepada semua calon supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan jerat sindiket penyamaran itu.

“Calon boleh terus memohon melalui sistem SPA9 kerana tiada sebarang bayaran dikenakan bagi permohonan kemasukan ke perkhidmatan awam,” ujarnya.