X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

[VIDEO] Remaja rempuh pekerja potong rumput, mengaku tidak bersalah

Remaja yang didakwa menyebabkan kematian pekerja pemotong rumput dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.
A
A

SUNGAI PETANI - Remaja yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga menyebabkan dua pekerja potong rumput maut, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dilihat hadir ke mahkamah berpakaian sekolah lengkap ditemani ahli keluarga kira-kira jam 9 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu dalam keadaan bahaya dan menyebabkan kematian pekerja potong rumput, Siouca Chakma, 21, di Jalan Pintasan Semeling kira-kira jam 11.10 pagi 7 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, remaja itu didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lagi pekerja, Akter Kamal Hosen, 33, pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 boleh dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Majistret Noor Fazlina Musa menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang remaja di bawah umur memandu MPV milik bapanya sehingga merempuh pekerja potong rumput mengakibatkan dua maut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!