LBS catat prestasi mantap di permulaan tahun 2022

Pendapatan suku pertama meningkat kepada RM409.02 juta berbanding RM402.55 juta

A
A
A

TAN SRI LIM HOCK SAN
TAN SRI LIM HOCK SAN

PETALING JAYA – Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad, semalam mengumumkan hasil kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2022.

Bagi tempoh dalam tinjauan, LBS merekodkan hasil keuntungan sebanyak RM409.02 juta berbanding RM402.55 juta pada suku pertama 2021.

Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing sebanyak RM54.26 juta dan RM33.80 juta, yang diterjemahkan dari peningkatan tahun ke tahun dengan 2.14 peratus dan 2.7 peratus.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) mencatatkan sebanyak RM30.16 juta dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 20.0 peratus meskipun berhadapan dengan konflik peperangan Russia dan Ukraine yang memberi kesan kepada peningkatan harga barangan mentah.

Segmen pembangunan hartanah masih merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Syarikat. Rekod pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan kepada 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, iaitu RM393.48 juta, dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 1 peratus.

Pendapatan yang stabil ini didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek-projek di Lembah Klang seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth.

Syarikat turut mengumumkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang telah menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada pendapatan hasil syarikat bagi suku pertama tahun 2022.

Sehingga 17 Mei 2022, LBS telah berjaya memperoleh jualan sebanyak RM593 juta dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM561 juta.

Sehingga 30 April 2022, jualan tanpa bil mencatatkan sebanyak RM2.4 bilion, akan memberikan pulangan secara positif kepada syarikat untuk tempoh beberapa tahun ke hadapan.

Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihak syarikat amat teruja untuk memulakan tahun 2022 dengan semangat baru tanpa dibayangi pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun katanya, LBS masih berhadapan dengan suku pertama yang mencabar berikutan kenaikan harga barangan mentah dan kekurangan tenaga pekerja.

“Ini sekaligus memberi kesan kepada sentimen pasaran dan industri semasa. Namun begitu, LBS akan terus konsisten dalam mengekalkan keputusan yang terbaik,” katanya.

Jelas beliau, menerusi pengumuman terkini Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kadar dasar semalaman adalah dijangka.

Kata Hock San, umum diketahui, ini adalah sebahagian daripada urusan dalam menjalankan perniagaan.

“Kami telah bersiap sedia dan kami percaya bahawa produk kami, sejajar dengan permintaan pasaran harga rumah mampu milik dan berada di lokasi-lokasi strategik yang mampu memenuhi permintaan daripada orang ramai.

“Ini ditambah dengan pengecualian duti setem Kerajaan ke atas pembelian hartanah pertama bernilai sehingga RM500,000 untuk warganegara Malaysia bagi perjanjian jual beli yang dilaksanakan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025,” jelasnya.

Untuk tahun 2022, LBS akan terus membuat perancangan yang teliti berdasarkan prestasi kukuh tahun 2021. Peningkatan nilai pemegang kepentingan tetap menjadi keutamaan kami untuk mengekalkan kepercayaan para pemegang saham terhadap usaha LBS.