Ringgit cecah RM4.4 berbanding dolar AS, terendah sejak Mac 2020

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit terus merosot untuk dibuka lebih rendah pada paras RM4.4 berbanding dolar AS, terendah sejak Mac 2020 berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah selain mengetatkan dasar monetarinya.

Pada jam 9.19 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4050/4080 berbanding dolar AS daripada penutup Rabu 4.3960/3975.

Ringgit mencatatkan rekod terendah pada 23 Mac, 2020 apabila ia mencecah paras RM4.447.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini adalah cerminan kepada ketidaktentuan ekonomi yang kian meningkat yang mana dalam konteks semasa adalah mengenai prospek kadar faedah yang lebih tinggi di AS dan prospek inflasi.

"Kadar inflasi yang lebih tinggi memberi kesan kepada sektor pengguna kerana kos perniagaan meningkat, sekali gus menjejaskan margin keuntungan mereka.

"Rizab Persekutuan AS turut tegas dengan kempen kenaikan kadar mereka yang mungkin boleh mencetuskan aktiviti ekonomi yang lebih perlahan pada satu ketika di masa hadapan," katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, pengerusi Fed Jerome Powell berkata, Fed akan terus menaikkan kadar sehingga inflasi turun.

Mohd Afzanizam berkata, bank-bank pusat utama juga kemungkinan mengetatkan cengkaman mereka terhadap dasar monetari kerana inflasi tampak berleluasa.

"Jadi, bank pusat utama benar-benar berada di tempat yang sukar kerana mereka perlu menimbang antara tekanan inflasi yang meningkat dan memastikan pertumbuhan ekonomi kekal teguh,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata larangan eksport produk berkaitan agromakanan oleh bidang kuasa tertentu dijangka meningkatkan tahap tekanan inflasi.

Ringgit, bagaimanapun, didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapuran kepada 3.1693/1717 berbanding penutupan Rabu pada 3.1713/1728, lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6200/6231 daripada 4.6268/6284, dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4406/4443 daripada 5.4554/4573.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4269/4295 daripada 3.4041/4055. - Bernama