X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, dagangan Wall Street turut lemah

Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada Khamis rendah.
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada Khamis rendah, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang mencatatkan penurunan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.83 mata atau 0.57 peratus kepada 1,546.08 daripada 1,554.91 penutup Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka pada 1,550.24, turun 4.67 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 437 berbalas 49, manakala 146 kaunter tidak berubah, 1,637 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 286.43 juta unit bernilai RM121.62 bilion.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Wall Street telah diselubungi dengan kelembapan berikutan kebimbangan terhadap tekanan inflasi semakin meningkat.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) kehilangan 1,164 mata manakala Komposit Nasdaq merosot sebanyak 566 mata walaupun hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut sedikit kepada bawah paras 2.9 peratus.

"Di pasaran tempatan, sentimen pasaran FBM KLCI kekal berhati-hati.

"Namun begitu, berikutan keadaan yang kurang memberangsangkan dalam kalangan ekuiti AS semalaman, kami percaya pasaran serantau akan mengalami halangan besar hari ini," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berkata indeks dijangka bergerak dalam arah aliran lebih rendah dan berlegar pada sekitar julat 1,540-1,555 hari ini.

"Sementara itu, hasil 10 tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) telah meningkat kepada paras tertinggi untuk tempoh beberapa tahun melebihi 4.5 peratus dan ini menunjukkan terdapat beberapa aktiviti jualan.

"Sebaliknya, harga minyak mentah susut sedikit dengan penanda aras minyak mentah Brent ditutup di bawah paras US$110 setong di tengah-tengah kekeliruan mengenai situasi permintaan dan penawaran," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.99, manakala Public Bank turun lima sen kepada RM4.56 dan IHH Healthcare susut tiga sen menjadi RM6.43.

Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM10 dan CIMB naik satu sen kepada RM5.08.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada tujuh sen, Serba Dinamik lemah dua sen kepada 14 sen, Dagang Nexchange turun tiga sen kepada RM1.02, manakala Techna-X naik setengah sen kepada 5.5 sen dan Country Heights menambah 1.5 sen menjadi 85 sen.

Antara yang paling rugi, Nestle susut RM1.50 kepada RM132.90, Malaysian Pacific Industries jatuh RM1.24 kepada RM30.38, Batu Kawan kerugian 30 sen kepada RM27.10, Petronas Dagangan turun 26 sen kepada RM21.26 dan Minyak Sarawak merosot 21 sen menjadi RM5.84.

Di papan indeks, FBM ACE menguncup 83.98 mata kepada 5,238.39, Indeks FBM Emas Syariah susut 116.93 mata kepada 11,425.95 manakala Indeks FBM Emas merosot 86.08 mata menjadi 11,014.53.

Indeks FBMT 100 turut jatuh sebanyak 79.06 mata kepada 10,688.65 dan Indeks FBM 70 kerugian 170.09 mata kepada 13,016.54.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 80.42 mata kepada 8,142.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula 2.14 mata lebih rendah pada 196.84 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 54.33 mata menjadi 16,612.58. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!