TUDM kabulkan impian pesakit kanser

TUDM merealisasikan impian Muhammad Irfan Mikael untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang - Foto Facebook KTU
TUDM merealisasikan impian Muhammad Irfan Mikael untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang - Foto Facebook KTU
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merealisasikam impian seorang pesakit leukemia untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang.

Pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TUDM Bersama Rakyat, Muhammad Irfan Mikael Mohd Shukri, 15, diberi peluang memakai sut juruterbang dengan pangkat 'Leftenan' beserta tag nama selain didedahkan dengan tugas-tugas seorang juruterbang pesawat pejuang.

"Prihatin dengan keadaan adik Irfan yang viral sejak minggu lepas, pihak TUDM mengambil peluang ini untuk melestarikan impiannya.

"Program CSR TUDM Bersama Rakyat ini adalah usahasama gabungan dari Kolej Tentera Udara (KTU) dan Pangkalan Udara (PU) Butterworth sempena Sambutan Hari TUDM ke-64 yang akan disambut pada 1 Jun depan," menurut kenyataan di laman Facebook rasmi KTU pada Khamis.

Pada program CSR tersebut, Irfan yang diiringi Pegawai Eksekutif PU Butterworth, Kolonel Engku Faizal dan Pegawai Memerintah 15 Skn, Leftenan Kolonel Hafiz dibawa melihat pesawat Hawk 108 dan F18 Hornet.

Selain itu, Irfan juga diberi peluang mengendalikan pesawat simulator F18 Hornet.

Muhammad Irfan Mikael dibawa meninjau pesawat Hawk 108 dan F18 Hornet. - Foto Facebook KTU
Muhammad Irfan Mikael dibawa meninjau pesawat Hawk 108 dan F18 Hornet. - Foto Facebook KTU

"Dalam lawatan berkenaan, wakil No 15 Skn, PU Butterworth dan KTU turut menyampaikan sumbangan kepada adik Irfan Mikael yang ditemani ibu bapanya.

"Kami warga TUDM mendoakan yang terbaik untuk adik Irfan dan sentiasa dalam peliharaan Allah.

"Kami juga mendoakan ibu bapa dan keluarganya tabah menghadapi segala kemungkinan, dan doa kami agar ada sinar dan keajaiban untuk Irfan," menurut kenyataan itu.

Muhammad Irfan Mikael disahkan menghidap kanser 'Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL)' sejak 2021 dan kini berada pada tahap akhir.

Muhammad Irfan Mikael diberi peluang memakai sut juruterbang. - Foto Facebook KTU
Muhammad Irfan Mikael diberi peluang memakai sut juruterbang. - Foto Facebook KTU