Calon sedia debat jika itu kehendak rakyat

Dr Sathia Prakash Nadarajan
Dr Sathia Prakash Nadarajan
A
A
A

HULU SELANGOR - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan bersedia untuk berdebat dengan calon lain di kawasan berkenaan jika itu kehendak rakyat.

Menurutnya, mana-mana calon boleh berdebat asalkan isu debat itu sihat, tiada unsur negatif, malah beliau bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa secara telus dan jujur.

"Kita buat secara sihat. Kita tidak akan paksa sesiapa. Semua orang mahu debat ini berlaku lebih-lebih lagi bila ada pihak sebarkan di media sosial mengatakan debat perlu dilakukan antara calon PKR Cabang Hulu Selangor.

"Kena 'transparent' sebab itu kita punya moto tekad, telus dan teguh. Semuanya perlu dilakukan secara terbuka," katanya kepada pemberita di Wisma SP Care Group di sini.

Pemilihan di Selangor ditetapkan pengundiannya pada 21 Mei dan keputusan pemilihan peringkat cabang akan diketahui pada 23 Mei ini melalui aplikasi ADIL dan laman web ADIL.

Pada peringkat Cabang, jawatan perlu dipilih ialah Jawatan Utama Pusat, Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, Jawatankuasa Wanita Cabang melibatkan 62 jawatan.

Ditanya mengenai keyakinan ahli parti terhadap beliau, Dr Sathia berkata, PKR perlu sentiasa berkeyakinan penuh terhadap kemampuan saf kepimpinan serta ahli-ahli parti.

"Kita perlu sentiasa yakin terhadap ahli-ahli parti dan yakin kepada rakyat Hulu Selangor terutamanya dan kita akan melakukan yang terbaik untuk mereka," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan SP Care.