Akses jalan raya punca guru tolak berkhidmat di pedalaman

Aliakbar (berdiri, kanan) ketika hadir pada Program Ziarah Sekolah sempena sambutan Hari Guru di SMK Bandaraya, pada Rabu.
Aliakbar (berdiri, kanan) ketika hadir pada Program Ziarah Sekolah sempena sambutan Hari Guru di SMK Bandaraya, pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Isu akses jalan raya boleh menjadi punca guru menolak tawaran untuk bertugas di kawasan pedalaman sekali gus akan menyebabkan kanak-kanak di kawasan berkenaan tercicir daripada menerima pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, isu aksesibiliti sudah lama berlaku dan perkara itu sering diketegahkan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Keadaan ini akan menyebabkan dua kesan. Pertama, guru-guru mungkin akan menolak tawaran ke tempat yang sukar dicapai. Kedua kalau guru tidak ada ditempat itu, maka pelajar atau anak kampung, masyarakat setempat tertinggal dari segi pendidikan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Ziarah Sekolah sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di sini, pada Rabu.

Beliau sebelum itu diminta mengulas langkah yang perlu diambil bagi membantu guru berkhidmat di kawasan pedalaman supaya dipermudahkan dari segi aksesbiliti untuk ke sekolah masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan supaya satu jawatankuasa khusus ditubuhkan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya lihat walaupun kerajaan sekarang menumpukan juga kepada usaha seumpama itu tetapi isu ini tidak pernah selesai.

"Kita kasihan melihat ada guru yang naik motosikal di tanah berlumpur dan sepatutnya keadaan ini tidak berlaku lagi selepas lebih 60 tahun kita merdeka.

"Jadi saya cadangkan juga supaya pihak kerajaan meletakkan suatu dana tambahan atau besar untuk memastikan aksesbiliti guru ke sekolah lebih mudah dan mudah dicapaikan," katanya.