Tottenham miliki kualiti julang kejuaraan

Kane (kanan) dan Heung-Min disifatkan semakin menyerlah sejak kehadiran Conte di Tottenham Hotspur. - Foto AFP
Kane (kanan) dan Heung-Min disifatkan semakin menyerlah sejak kehadiran Conte di Tottenham Hotspur. - Foto AFP
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur berupaya membawa kejuaraan utama ke utara London dalam tempoh lima tahun sekiranya berjaya mengekalkan tiga elemen utama The Lilywhites tersebut.

Menurut pengulas bola sepak, Micah Richards, Tottenham berada di landasan tepat dalam membina semula kekuatan kelab itu dengan kehadiran Antonio Conte.

Jelas Richards, bekas pengendali kelab Serie A, Inter Milan itu juga berjaya menutup mulut pengkritik apabila meletakkan Tottenham dalam kelompok empat terbaik yang menjamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Tottenham juga masih memiliki skuad generasi emas diketuai Harry Kane dan Son Heung-min yang sedang memasuki usia 30-an, seperti diketahui memainkan peranan besar sebagai pencetak gol pasukan.

“Kehadiran Conte pula biarpun dalam beberapa perlawanan awal menghadirkan beberapa keputusan kurang memuaskan, namun falsafah bola sepaknya mula diterima dalam kalangan pemain kelab ini,” katanya.

Kelab London itu sebelum ini sering menjadi kritikan selepas gagal menamatkan kemarau kejuaraan walaupun pasukan tersebut sering menghadirkan beberapa nama besar setiap musim sejak enam atau tujuh tahun lalu, namun gagal menghasilkan impak positif.

Malah, tegas Richards lagi, Tottenham perlu mengekalkan khidmat Kane dan Heung-min yang mula menjadi perhatian beberapa kelab besar selepas menghadirkan beberapa keputusan positif musim ini.

“Malah, pengurusan tertinggi kelab juga perlu mengekalkan khidmat Conte yang seperti semua ketahui telah memenangi gelaran liga hampir setiap kelab yang pernah kendaliannya.

“Jika pengurusan kelab melihat segala perkembangan positif yang dibawa ketiga-tiga individu dan mengekalkan khidmat mereka, saya tidak nampak masalah untuk Tottenham mengakhiri kemarau kejuaraan trofi dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Tottenham yang kini di kedudukan empat liga apabila mengutip 68 mata selepas mengharungi 37 perlawanan, dua mata mengatasi pencabar terdekat Arsenal, akan bertandang ke Carrow Road bagi aksi berdepan Norwich City pada Ahad ini.