Guru besar, pengetua perlu ada kesedaran tinggi bendung buli

Guru besar atau pengetua perlu memainkan peranan terbaik untuk memastikan elemen buli tidak berlaku di sekolah dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran terbaik. Gambar kecil: Anuar
Guru besar atau pengetua perlu memainkan peranan terbaik untuk memastikan elemen buli tidak berlaku di sekolah dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran terbaik. Gambar kecil: Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah buli membabitkan pelajar di sekolah dapat diatasi dengan lebih efisien sekiranya guru besar atau pengetua mempunyai kesedaran tinggi untuk membendung dan memantau dengan serius budaya tidak sihat itu.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan garis panduan serta pekeliling lengkap mengenai usaha untuk membanteras sebarang kes buli membabitkan pelajar sekolah.

Justeru katanya, pihak pengurusan sekolah terutamanya guru besar atau pengetua perlu memainkan peranan terbaik untuk memastikan elemen buli tidak berlaku di sekolah dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran terbaik.

“Pada saya isu buli ini lebih kepada isu kesedaran. Sejauh mana masyarakat kita terutamanya warga sekolah melihat buli ini sebagai satu benda yang sangat serius. Sebelum ini kalau kita lihat isu-isu lain misalnya isu dadah ataupun isu rokok dan sebagainya, kita dapat lihat ada usaha berterusan yang serius dilakukan oleh pihak sekolah.

“Tetapi isu buli ini berlaku di luar daripada yang kita nampak, maksudnya ia berlaku secara tersembunyi. Jadi, atas sebab itulah pentingnya kesedaran tinggi. Maksudnya pengetua kena selalu ingatkan atau sedarkan warga sekolah bahawa buli ini sesuatu yang serius dan besar, bukan lagi isu kecil.

“Malangnya, apa yang berlaku, kita lihat pihak sekolah lebih kepada usaha untuk menyembunyikan isu buli ini kerana pelbagai faktor, antaranya ingin menjaga imej sekolah, sedangkan perkara ini tidak sewajarnya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Anuar, faktor kurang kesedaran untuk membendung budaya buli juga turut mendorong situasi tidak sihat ini terus berlanjutan sehingga kini, meskipun pelbagai usaha termasuk kempen telah diwujudkan.

“Jadi kita perlu melihat bahawa pihak sekolah khususnya guru besar, pengetua dan guru-guru kena lihat buli ini bukan benda yang boleh disembunyikan. Ia tidak boleh dianggap sebagai satu keadaan yang akan memburukkan nama sekolah. Ia tidak boleh begitu,” katanya.

Selain itu katanya, pengurusan sekolah juga perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam menangani isu membabitkan kes buli ini sekiranya ada pelajar yang membuat laporkan wujudkan budaya tersebut di sekolah mereka.

“Jadi, saya berharap agar pihak sekolah terutamanya guru besar dan pengetua akan memainkan peranan mereka yang terbaik untuk tidak menyembunyikan kes buli pada masa hadapan.

“Kita kena jadikan sekolah atau asrama sebagai tempat selamat untuk pelajar belajar kerana kalau ia tidak diambil tindakan agresif, budaya ini akan terus membelenggu generasi akan datang,” ujar beliau.