Sila log masuk terlebih dahulu.

Jangan letak kakitangan panas baran bertugas di kaunter

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, tular video seorang petugas kaunter Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Kota Kemuning menengking seorang pelanggan.

Pihak MBSA bagaimanapun sudah tampil memohon maaf dan menjelaskan kejadian berpunca akibat salah faham mengenai nombor giliran. Isu itu diselesaikan secara baik.

Ini bukan kali pertama Merak Jalanan mendengar kejadian petugas di kaunter yang gagal mengawal emosi ketika berdepan dengan kerenah pelanggan.

Lebih memanaskan keadaan, insiden itu dirakamkan dan ditularkan sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Sudah tentu orang ramai akan menyalahkan petugas kaunter yang gagal mengawal perasaan marah dan tidak mengamalkan etika kerja profesional.

Bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang, Merak Jalanan menyarankan setiap jabatan dan agensi tidak kira kerajaan atau swasta supaya tidak meletakkan kakitangan yang mempunyai sikap panas baran untuk bertugas di bahagian kaunter.

Ini kerana, petugas kaunter dalam apa-apa bidang termasuk perhotelan, pusat servis kenderaan, hospital, kurier atau penghantaran barang, mereka mencerminkan kualiti perkhidmatan.

Merak Jalanan akui, pelanggan yang datang mempunyai seribu satu sikap. Ada yang baik, ada juga yang bersikap panas baran.

Artikel Berkaitan:

Namun petugas hadapan perlu mengawal emosi mereka supaya tidak berlaku pertikaman lidah.

Selain itu, petugas di kaunter juga perlulah seseorang yang bijak menyelesaikan masalah mengikut budi bicara.

Contohnya, sekiranya ada pelanggan terlupa membawa dokumen lengkap, jangan terus menolak, sebaliknya berilah cadangan untuk mempermudahkannya.

Merak Jalanan percaya, petugas kaunter pasti akan pulang ke rumah dalam keadaan tenang dan ceria pada hari itu selepas berjaya membantu mempermudahkan urusan orang ramai.