Pemansuhan AP kawal krisis bekalan makanan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEADAAN krisis makanan yang dihadapi oleh negara pada ketika ini menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila ia mempengaruhi kenaikan harga barangan yang boleh menambahkan lagi kesan inflasi dan menjejaskan ekonomi negara serta rakyat.

Lebih-lebih lagi, nilai ringgit yang rendah turut menjadikan harga bagi barangan import termasuk makanan menjadi lebih mahal.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) bekalan makanan dijangka memberi kesan positif kepada negara khususnya dalam menstabilkan harga barangan makanan dalam pasaran.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, pemansuhan tersebut merupakan langkah tepat daripada kerajaan kerana dapat membuka lebih banyak peluang kepada peniaga untuk membawa masuk bahan makanan keperluan asas ke negara ini.

Ujar beliau, dengan ketiadaan AP itu maka, semua peniaga mempunyai peluang sama-rata dalam membekalkan bahan makanan.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa AP bekalan makanan tidak lagi diperlukan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Langkah tersebut juga dapat mengawal krisis makanan yang mungkin akan berlaku negara ini seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini susulan masalah inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik Covid-19 serta konflik antara Rusia dan Ukraine berlarutan.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berpandangan bahawa pemansuhan AP bekalan makanan itu merupakan jalan terbaik kerajaan melimpahkan pasaran dengan barangan yang lebih murah demi mengawal inflasi dan mengawal harga yang tidak masuk akal.

Kata beliau, ia juga secara langsung dapat memastikan negara mendapat bekalan mencukupi bagi barangan makanan yang Malaysia tidak mempunyai kelebihan seperti ayam, daging, tepung dan kelapa.

Barangan makanan yang Malaysia tidak mempunyai kelebihan seperti kelapa menyebabkan harga komoditi itu di Malaysia lebih mahal berbandimg daripada Indonesia.

Justeru itu, ujarnya, pengecualian AP membolehkan harga barangan makanan dapat distabilkan.