XOX Pro Sport ambil alih Perak FC

No Image Caption
A
A
A

ANAK syarikat milik penuh XOX Bhd, XOX Pro Sport Sdn Bhd memeterai perjanjian penjualan saham dengan Impact Media & Communication Sdn Bhd untuk mengambil alih 2,500 saham biasa yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Perak FC Sdn Bhd dengan nilai RM1.

XOX berkata, pengambilalihan itu merupakan peluang bagi kumpulan untuk meluaskan jangkauan dengan mengembangkan lagi ekosistemnya untuk menggabungkan bola sepak.

“Perak FC mempunyai kira-kira setengah juta peminat, dan Perak terkenal sebagai negeri yang mempunyai peminat bola sepak paling fanatik di negara ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Menurut XOX, jumlah pertimbangan pembelian RM1 dicapai atas dasar kesediaan pembeli dan penjual selepas mengambil kira, antara lain, kerugian selepas cukai Perak FC sebanyak RM2.32 juta dan liabiliti bersih berjumlah RM3.50 juta pada 30 Jun 2021, kesukaran operasi dan liabiliti tertunggak kira-kira RM7.1 juta setakat 31 Disember 2021.

“Cadangan pengambilalihan itu yang akan dibiayai sepenuhnya daripada dana yang dijana secara dalaman, dijangka selesai pada suku ketiga 2024,” katanya. - Bernama