X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Serba Dinamik, anak syarikat kenal pasti aset untuk dijual

Gambar hiasan
A
A

SERBA Dinamik Holdings Bhd dan anak-anak syarikatnya telah mengenal pasti beberapa aset untuk dijual segera bagi menjana aliran tunai yang diperlukan untuk menyelesaikan liabiliti syarikat.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, syarikat itu menjelaskan ia akan memerlukan mesyuarat yang diarahkan mahkamah dengan pemiutangnya.

Mesyuarat itu diadakan bagi mempertimbangkan dan jika didapati sesuai, meluluskan skim pengaturan untuk dicadangkan antara syarikat dan pemiutangnya bagi menstrukturkan semula obligasi hutang syarikat dan anak-anak syarikat, menurutnya.

"Lembaga pengarah syarikat berpandangan permohonan skim itu adalah demi kepentingan Serba Dinamik dan pemiutangnya memandangkan skim pengaturan yang dicadangkan itu mengusulkan pulangan 100 peratus kepada pemiutang syarikat," menurut kenyataan tersebut.

Pendengaran bagi permohonan skim itu telah ditetapkan pada 19 Mei 2022.

Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara tersebut.

Menurut syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu, sejak Mei 2022 ia telah menghadapi beberapa peristiwa yang menjejaskan aliran tunai Serba Dinamik Group ekoran persekitaran pandemik Covid-19 yang amat melambatkan tempoh pembayaran oleh pelanggan serta kemajuan projek-projek yang dijalankan oleh Serba Dinamik Group.

"Ini telah menyebabkan paras inventori tinggi dan kelambatan penukaran inventori kepada tunai dan setara tunai, mengakibatkan kutipan menjadi perlahan," tambahnya.

Pada 13 Mei 2022 syarikat perkhidmatan kejuruteraan ini telah memfailkan permohonan mengikut Seksyen 366 Akta Syarikat 2016 untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan mesyuarat yang diarahkan mahkamah dengan pemiutang dan untuk perintah sekatan diberikan ke atas anak-anak syarikat Serba Dinamik.

Datuk Abdul Kadier Sahib, sebagai pemegang saham syarikat, telah memfailkan permohonan yang sama mengikut Seksyen 366 Akta Syarikat 2016 untuk mendapatkan kebenaran untuk syarikat itu mengadakan mesyuarat diarahkan mahkamah dengan pemiutangnya secara kolektif.

Pada penutupan dagangan Bursa Malaysia hari ini, harga saham Serba Dinamik susut setengah sen kepada 16 sen dengan 215.78 juta saham bertukar tangan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!