X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

UMW kekal momentum jualan 32,600 unit pada April 2022

Toyota Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux adalah antara model terlaris bagi bulan April.
A
A

KUMPULAN UMW mengekalkan momentum penjualan automotifnya pada bulan April 2022 dengan kedua-dua UMW Toyota Motor ("UMWT”) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan kenderaan yang lebih baik.

Kumpulan itu mendaftarkan jualan kenderaan sebanyak 32,600 unit pada April 2022, lebih rendah daripada 35,246 unit yang didaftarkan pada Mac 2022, disebabkan oleh gangguan terhadap pengeluaran kenderaan susulan isu rantaian bekalan yang telah menjejaskan industri automotif.

UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,946 unit pada April 2022 dan mendaftarkan jualan sebanyak 29,393 unit, 11.2 peratus lebih tinggi daripada 26,431 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2021.

Toyota Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux adalah antara model terlaris bagi bulan April manakala kempen jualan yang sedang dijalankan sepanjang hari raya seperti "Bersama Lebih Bermakna” dijangka akan memacu jualan kenderaan kumpulan.

Selain itu, UMWT juga akan meraikan sambutan hari raya dengan menganjurkan "Toyota Raya Open House Weekender” pada 21 dan 22 Mei 2022 di semua bilik pamerannya di seluruh negara.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 25,654 unit pada April 2022, 4.1% lebih rendah daripada 26,759 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

Bagi empat bulan pertama tahun 2022, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 87,278 unit, 11.5 peratus lebih tinggi daripada 78,308 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun 2021 dengan model terlarisnya, iaitu Myvi, Axia dan Bezza.

Selain permintaan yang bertambah baik dan prospek yang positif bagi industri automotif di Malaysia, Perodua telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 247,800 unit untuk tahun 2022. Jualan yang lebih tinggi akan didorong oleh pengecualian cukai jualan serta pengenalan model baharu dan dikemaskini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan jualan kenderaan yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua pada bulan April 2022 walaupun dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri automotif.

"Isu rantaian bekalan yang berterusan telah mengganggu pengeluaran kenderaan bagi bulan April, namun kedua-dua syarikat bekerjasama rapat dengan pembekal mereka untuk meminimumkan kesan terhadap pengeluaran kenderaan dan mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan kami.

"Kami ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pelanggan kami atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami," jelasnya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!