X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Dasar Pandang ke Timur kekal relevan

Jepun mungkin boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang teknologi baharu seperti digital dan hijau. - Foto SinarPlus
A
A

DASAR Pandang Ke Timur (LEP) akan kekal relevan selagi tumpuan khusus terhadap dasar itu dikemaskini seiring dengan perubahan global dan sosial, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Takahashi berkata, dasar LEP yang menyaksikan ulang tahun ke-40 tahun ini bakal membawa momentum baharu dan boleh dipertingkatkan lagi dalam menjadikannya salah satu tonggak hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun.

"Saya harap beberapa aspek boleh dipertimbangkan bagi mengemaskini dasar LEP agar ia kekal relevan. Pertama, tumpuan yang lebih besar harus diberikan kepada pemulihan Covid-19.

"Malaysia kini dalam tempoh peralihan ke fasa endemik dan kebangkitan ekonomi kekal menjadi tumpuan utama. Jepun mungkin boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang teknologi baharu seperti digital dan hijau.

"Teknologi ini diperlukan bagi menangani cabaran global seperti persekitaran dan perubahan iklim dan ia akan membawa peluang perniagaan yang lebih besar," katanya.

Takahashi menjelaskan demikian dalam ucapan pembukaan di Forum Webinar Institut Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) bertajuk "Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur: Perbualan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad” di sini pada Rabu.

Turut hadir pada forum itu ialah Ketua Eksekutif ISIS Malaysia, Herizal Hazri dan Pengarah Institut Pembangunan Ekonomi Kumpulan Kajian Ekonomi Geografi (IDE-JETRO), Satoru Kumagai.

Duta itu turut menegaskan bahawa Jepun boleh belajar daripada Malaysia mengenai kerukunan pelbagai bangsa, yang kini menjadi isu sosial utama di Jepun.

"Sangat teruja mengetahui bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana, dengan pelbagai kumpulan etnik wujud bersama-sama berjaya mencapai pembangunan ekonomi dan kestabilan sosial yang baik.

"Saya juga ingin melihat lebih ramai rakyat Jepun datang melanjutkan pengajian di Malaysia dan mendapat pendedahan lebih mendalam tentang budayanya.

"Saya percaya ini akan meluaskan kepentingan LEP dan manfaatnya akan terus berkekalan untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengasaskan LEP dalam ucapannya berkata, pendekatan lebih komprehensif dalam bidang pendidikan perlu untuk memartabatkan hubungan Malaysia-Jepun.

Memandangkan sektor itu dianggap sebagai nadi kepada dasar di mana Malaysia boleh mempelajari dan mencontohi etika kerja Jepun, Dr Mahathir berkata, adalah penting untuk menyerlahkan nilai budi pekerti Jepun melalui medium pendidikan.

"Dengan bantuan kerajaan Jepun, kami memulakan program menghantar pelajar dan pegawai kerajaan ke Jepun untuk melanjutkan pengajian dan latihan.

"Apabila saya melepaskan jawatan pada 2003, terdapat lebih 10,000 rakyat Malaysia dihantar ke Jepun di bawah program LEP. Jumlah itu telah meningkat kepada lebih 26,000 rakyat Malaysia pada satu ketika. Saya bangga konsep ini berjaya," katanya.

Tambah Dr Mahathir, ramai rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun menunjukkan prestasi yang sangat baik apabila pulang ke tanah air.

"Namun jumlah rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun pada hari ini adalah jauh lebih rendah berbanding dahulu. Saya percaya kita boleh dan harus melakukan lebih baik.

"Justeru, saya berharap pendekatan lebih menyeluruh dalam bidang pendidikan di bawah Dasar Pandang Ke Timur dan hubungan Malaysia-Jepun secara keseluruhannya akan wujud.

"Kita harus melihat sistem pendidikan Jepun bermula dari peringkat prasekolah hingga universiti,” kata Dr Mahathir.

Pelancaran LEP, hasil cetusan idea Dr Mahathir menandakan detik perubahan penting dalam ekonomi, pembangunan dan dasar luar Malaysia.

Jepun menerima LEP dan ia akhirnya menjadi simbol de facto hubungan Malaysia-Jepun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!