X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Pergerakan saya dipantau rapi hingga ke tandas' - Mohd Bakke

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa pergerakan beliau dipantau rapi bahkan hingga ke tandas pada hari 1MDB menandatangani projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Mohd Bakke, 68, berkata, insiden itu berlaku di pejabat 1MDB pada 2009.

"Sebenarnya pada masa itu, saya tidak lagi berada dalam Lembaga Pengarah. Saya telah dijemput untuk menghadiri majlis itu pada November 2009 berkaitan Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB.

"Majlis itu, yang diketuai Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, turut dihadiri beberapa ahli pengurusan 1MDB serta Putera Turki (Abdullah Al Saud dari Arab Saudi) dan Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri tersebut berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB.

Ditanya sama ada beliau bertemu Najib pada majlis itu, Mohd Bakke berkata: "tidak, pergerakan saya telah dipantau oleh seorang kakitangan 1MDB sejurus tiba di lokasi pejabat itu sehinggalah saya beredar meninggalkan majlis tersebut, malah ketika saya ke tandas.”

"Selepas saya meletak jawatan, saya tidak mahu terlibat dengan 1MDB, ia adalah sesuatu yang ingin saya lupakan, apa sahaja yang berkaitan dengan 1MDB, saya tidak berminat untuk ambil tahu. Saya tidak cuba untuk berjumpa dengan Najib pada majlis itu,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Mohd Bakke telah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang ditemani oleh bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, buat pertama kali seawal 2007 di pejabat beliau di Felda Holdings.

"Mereka membentangkan satu cadangan berkaitan projek tenaga diperbaharui. Kami telah mengadakan dua atau tiga mesyuarat dengan mereka. Felda kemudian membuat keputusan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan mereka yang telah ditandatangani di hadapan Najib.

"Bagaimanapun, usaha sama itu tidak menjadi kenyataan kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat MoU itu,” katanya sambil menambah bahawa ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang syak wasangka terhadap Jho Low atau Abu Zahar.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!