Sektor peruncitan catat pemulihan kukuh pada suku kedua

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

KUASA beli rakyat Malaysia dijangka kekal positif, yang boleh membawa kepada pemulihan kukuh dalam industri peruncitan pada 2022 dengan unjuran pertumbuhan 6.3 peratus bagi tahun ini berbanding penguncupan 2.3 peratus pada 2021, kata Retail Group Malaysia (RGM).

"Industri peruncitan mungkin mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku kedua (S2) memandangkan perayaan Aidilfitri baru-baru ini, tetapi kebimbangan terhadap faktor luaran yang berpanjangan akan boleh menjejaskan kuasa beli pengguna," kata Pengarah Urusan RGM Tan Hai Hsin.

"Pembelian runcit adalah positif pada masa ini, tetapi kebimbangan saya sekarang ialah berapa lama ia boleh bertahan?,” katanya semasa taklimat sektor peruncitan dan pelancaran Xilnex Voucher Network.

Tan berkata industri itu dijangka berkembang pada 4.2 peratus pada suku kedua 2022 (S2 2022) apabila kuasa beli pengguna telah pulih selepas dua tahun yang suram, diikuti dengan anggaran 3.4 peratus dan kadar pertumbuhan 3.6 peratus pada suku ketiga dan suku keempat.

Beliau turut menyenaraikan beberapa faktor yang boleh menggalakkan pengguna berbelanja, seperti kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan daftar masuk MySejahtera.

Bagaimanapun, beliau berkata kuasa beli pengguna akan dihadkan oleh kos sara hidup yang lebih tinggi dan kenaikan pantas inflasi.

"Faktor-faktor seperti kadar faedah yang lebih tinggi, serta perang Ukraine, walaupun jauh, memberi kesan kepada industri.

Kelembapan ekonomi global dan sekatan pergerakan yang berterusan di China juga telah menjejaskan kos penghantaran dan logistik menyebabkan harga barangan import meningkat, katanya.

Tan juga menyatakan pandemik COVID-19 turut telah mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan peruncit di Malaysia dengan penerimaan meluas cara pembayaran melalui e-dompet atau pesanan melalui imbasan kod QR.

Pandemik telah mencetuskan revolusi peruncitan baharu di Malaysia dengan pengguna beralih secara dalam talian.

"Yang ganjilnya, masih terdapat banyak perniagaan runcit di Malaysia enggan mendigitalkan operasi mereka. Sekarang pengguna telah kembali ke kedai fizikal, banyak peruncit mungkin kembali kepada operasi pra-pandemik mereka,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pengguna di Malaysia, institusi kewangan, syarikat teknologi dan kerajaan untuk memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan transformasi digital berterusan.

Sementara itu, syarikat perisian pengurusan runcit Web Bytes Sdn Bhd hari ini melancarkan Xilnex Voucher Network untuk membantu meningkatkan jualan dan mengembangkan pangkalan pengguna peniaganya.

Syarikat itu menaja e-baucar bernilai RM300,000 daripada peniaganya untuk diedarkan kepada pelajar-pelajar universiti melalui platform pendaftaran pelajar Uni Enroll yang diiktiraf lebih 80 universiti dan kolej swasta di seluruh negara. - Bernama