Hampir 90 peratus setuju polis lebih kerap ke sekolah

Keputusan undian secara dalam talian mengenai isu buli yang dibuat Sinar Harian.
Keputusan undian secara dalam talian mengenai isu buli yang dibuat Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir 90 pelayar Instagram Sinar Harian bersetuju kegiatan buli dalam kalangan pelajar dapat dicegah sekiranya pihak polis ditempatkan secara lebih kerap di sekolah menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Berdasarkan undian yang dilakukan secara dalam talian mendapati, sebanyak 88 peratus atau 301 undi bersetuju.

Sejumlah 12 peratus atau 42 undi pula tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Undian yang mula dibuka kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu itu dibuat bagi mendapatkan pandangan awam susulan berlaku beberapa insiden buli membabitkan pelajar sekolah dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Undian dalam talian yang dibuat Sinar Harian melalui platform Instagram.
Undian dalam talian yang dibuat Sinar Harian melalui platform Instagram.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menerima tiga laporan berkait kejadian pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Isnin menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pentadbiran atau pengurusan sekolah yang cuba menyorokkan kejadian buli jika berlaku di institusi pendidikan itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihak sekolah sebaliknya diminta lebih telus melaporkan maklumat atau kejadian berkaitan buli bagi membantu menyelesaikan masalah.