Beri ganjaran sokong, undi calon budaya tidak sihat: Amirudin

Amirudin berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan serta merayaikan Sambutan Majlis Semarak Ehsan Aidilfitri 2022 di Wisma PKPS, Shah Alam hari ini. Foto Bernama
Amirudin berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan serta merayaikan Sambutan Majlis Semarak Ehsan Aidilfitri 2022 di Wisma PKPS, Shah Alam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya memberikan ganjaran supaya menyokong calon khususnya dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 adalah tidak sihat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian ketika menjawab isu dakwaan ahli parti, M Soundrarajan Mariappa, 58, yang mendakwa dikunjungi seorang individu menawarkan ganjaran untuk memberi sokongan kepada salah seorang calon bertanding dalam Pemilihan Cabang PKR Hulu Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor berkata, parti tersebut tidak mengiktiraf perbuatan terbabit, apatah lagi menjadikan ia sebahagian daripada budaya dalam parti.

Menurutnya, perbuatan tersebut wajar dihalang dan ditolak jika ada bukti yang jelas.

"Saya percaya isu ini perkara terpencil tapi ia harus dipandang serius. Kita tidak pernah berikan sebarang pengiktirafan dan kebenaran (beri ganjaran), apatah lagi menjadi satu budaya dalam pemilihan PKR.

"Sudah pasti hal ini sewajarnya ditolak dan ditentang jika ada bukti yang jelas. Setakat dakwaan banyak, macam-macam sekarang ini, tapi yang penting pembuktian itu harus diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Rentas Negeri di antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar (Pemerbadanan) Negeri Sembilan (MNINS) bagi tanaman jagung bijirin menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma PKPS pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan mana-mana pihak yang menerima ganjaran tersebut boleh memberikan bukti dan transaksi perbuatan tersebut kepada Jawatankuasa Disiplin untuk tindakan seterusnya.

Ujarnya, semua calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR 2022 harus patuh kepada tataetika yang ditetapkan oleh parti tersebut.

Pada Selasa, Ahli PKR mendakwa dikunjungi seorang individu yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada salah seorang calon bertanding dalam Pemilihan Cabang PKR Hulu Selangor.

Dakwa M Soundrarajan Mariappa, 58, dalam pertemuan pada Isnin, individu terbabit meminta dia mengundi calon terbabit dalam pemilihan cabang berkenaan yang berlangsung pada 21 Mei ini.