'Kandungan pindaan perlembagaan UMNO hampir serupa MCA'

Ahmad Maslan - Foto Bernama
Ahmad Maslan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kandungan bagi pindaan perlembagaan UMNO yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas parti berkenaan pada Ahad itu adalah hampir serupa dengan pindaan yang dibuat oleh parti MCA.

Ujar beliau, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan pindaan kepada MCA dan ia sudah tentu menjadi rujukan kepada parti UMNO.

“Maklumat tambahan yang RoS minta akan diberikan segera. Dimaklumkan yang kandungan pindaan perlembagaan UMNO pada 15 Mei 2022 adalah hampir serupa dengan yang telah pun dibuat oleh parti MCA.

“RoS telah luluskan pindaan kepada MCA dan tentunya menjadi rujukan untuk UMNO,” katanya dalam ciapan di Twitter rasminya pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO telah pun menghantar surat kepada RoS untuk memaklumkan mengenai pindaan perlembagaan parti pada Selasa.

"Surat saya selaku Setiausaha Agung UMNO kepada RoS di Putrajaya yang saya sediakan bersama Penasihat Undang-undang UMNO telah dihantar dengan tangan hari ini, 17 Mei 2022," ujarnya.

Terdahulu, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno itu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno.

Usul pindaan itu bertujuan memastikan seluruh kekuatan parti dapat digembleng bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan.

Pada Ahad, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas sebulat suara meluluskan usul pindaan perlembagaan parti tersebut.