Ringgit rendah berikutan permintaan lebih kukuh terhadap dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu. - Gambar hiasan
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan permintaan lebih kukuh terhadap mata wang negara maju itu selepas pasaran menganggap kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah dapat meredakan tekanan harga, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.3960/3975 berbanding dolar AS daripada 4.3880/3915 ketika ditutup pada Selasa.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell dilaporkan berkata, pihaknya akan ‘terus berusaha keras’ untuk mengetatkan dasar monetari AS sehingga inflasi jelas mengalami penurunan.

Sementara itu, yuan China rendah berbanding dolar AS pada Rabu apabila susut setelah merekodkan kenaikan harian terbesar bagi tempoh sejak Oktober pada Selasa.

Ia berikutan data menunjukkan aliran keluar modal berterusan daripada bon China pada April, sekali gus menjejaskan daya tarikan ringgit.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, faktor-faktor ini menyeret turun pemulihan ringgit baru-baru ini.

"Bagaimanapun jika China dibuka semula dengan jayanya, kebanyakan kebimbangan makro berkaitan ringgit dijangka beransur-ansur reda,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1713/1728 daripada 3.1643/1671 ketika ditutup pada Selasa serta susut berbanding euro kepada 4.6268/6284 daripada 4.5969/6005.

Ringgit juga rendah berbanding yen kepada 3.4041/4055 daripada 3.3939/3969, namun meningkat berbanding pound British kepada 5.4554/4573 daripada 5.4653/4696 pada Selasa. - Bernama