Malaysia tak isytihar perang perdagangan terhadap EU

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Malaysia tidak melancarkan perang perdagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) tetapi hanya memaklumkan kepada dunia tentang masalah dihadapi Malaysia berikutan keputusan blok itu untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara tidak mengisytiharkan perang perdagangan dengan EU apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan melihat kepada negara lain untuk membeli jet pejuang, daripada membelinya daripada syarikat Eropah berikutan layanan tidak adil EU terhadap pengeluar minyak sawit.

“Apa yang saya lakukan, saya memberitahu dunia bahawa amat tidak adil untuk negara kaya menghalang negara miskin daripada menjadi lebih kaya dengan tidak membeli produk mereka. Itu sahaja.

"Ia bukan (mengisytiharkan) perang perdagangan,” katanya kepada media pada taklimat yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, perkembangan negara agak perlahan dari segi memupuk hubungan dengan negara-negara Afrika selepas beliau berundur daripada jawatan sebagai perdana menteri sebelum ini dan adalah amat mencabar untuk meningkatkan hubungan berikutan beliau mempunyai masa yang terhad.

“Saya memberi tumpuan untuk membina hubungan baik dengan negara-negara Afrika. Negara-negara Afrika amat kaya (dan) sebab itu kenapa orang Eropah pergi ke sana dan masih pergi ke sana.

“Sekarang saya menjadi perdana menteri semula, saya ingin melakukan perkara sama. Satu-satunya masalah adalah saya mempunyai tempoh masa yang singkat dan saya terpaksa pulun melaksanakan kerja untuk tempoh 10 tahun dalam masa dua tahun sahaja. Jadi, ia agak sukar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata terdapat banyak pihak memohon untuk melabur di Malaysia tetapi kerajaan perlu membuat tapisan supaya hanya pelaburan berkualiti diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Kami perlu melihat pelbagai aspek kerana kami tidak mahu timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, pelaburan yang diluluskan juga memerlukan masa untuk menjadi kenyataan dan tidak akan berlaku dalam waktu semalaman.

LIMA’19 diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi akan berakhir pada 30 Mac. - Bernama