Sila log masuk terlebih dahulu.

Satu mata pisahkan Alia Sazana dari cipta hatrik 25m pistol wanita

Alia Sazana Azahari
Alia Sazana Azahari
A
A
A

KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah atlet menembak negara Alia Sazana Azahari selepas hanya dipisahkan satu mata daripada melakar hatrik pingat emas acara 25 meter (m) sports pistol wanita di Sukan SEA ke-31 di sini pada Rabu.

Pada final di lapang sasar menembak Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi di sini, Alia Sazana yang mengumpul 33 mata untuk meraih perak, tewas kepada wakil Singapura Teh Xiu Hong yang juga lawan ditundukkan pada edisi 2015 dan 2017 sebelum ini.

Acara tersebut tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina.

Pingat gangsa pada final pada Rabu, dimenangi Tanyaporn Prucksakorn dari Thailand selepas meraih 28 mata.

"Saya sangat geram dan saya tahu ia disebabkan kesilapan saya sendiri. Saya dapat rasakan perkara itu. Lagipun ada dua aksi shoot off sebelum itu menyebabkan masa saingan bertambah panjang,” kata atlet berusia 30 tahun itu kepada pemberita di sini.

"Apapun saya gembira dengan keputusan ini selepas berdepan saat sukar ketika pandemik Covid-19 sebelum ini dan ini adalah kejohanan antarabangsa kedua saya selepas itu,” tambah atlet kelahiran Terengganu itu.

Dua lagi wakil negara dalam acara itu Bibiana Ng dan Siti Nur Masitah Muhd Badrin masing-masing terkandas di pusingan awal.

Kejayaan dilakar Alia Sazana menyaksikan skuad menembak kebangsaan kini mengumpul dua pingat perak selepas kejayaan Hafiz Adzha yang mencipta kejutan dalam acara 25m rapid fire pistol lelaki Isnin lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, gandingan empat penembak negara Haritz Iklil Hessly Hafiz, Muhammad Ezuan Nasir Khan, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Sharifah Noor Ellyna Syed Abdul Hamid terkandas di pusingan awal 10m Air Rifle berpasukan campuran.

Skuad menembak kebangsaan menyasarkan untuk membawa pulang satu emas dan empat gangsa pada temasya sukan dwitahunan itu. - Bernama