Kerajaan Perak ucap tahniah kepada Tajuddin

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tajuddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Gambar kecil: Saarani
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tajuddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Gambar kecil: Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun pelantikan tersebut dibuat oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri tetap berbangga kerana Tajuddin merupakan seorang Ahli Parlimen di Perak.

Menurutnya, kerajaan tentu sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum melantik Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu menjawat jawatan berkenaan.

"Sebagai orang Perak kita gembira sebab dia ahli Parlimen di Perak diterima oleh kerajaan Indonesia sebagai duta kita walaupun tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri kerana diputuskan oleh kabinet.

"Sudah tentu kabinet telah mengambil kira semua faktor sebelum mencalonkannya dan diterima sebagai duta.

Saya yakin dia boleh berfungsi dengan baik sebagai wakil kerajaan Malaysia, tahniah," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya, di sini pada Rabu.

Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah mendapat persetujuan daripada Presiden negara itu, Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tajuddin juga telah mendapat surat persetujuan daripada Jokowi.

Pelantikan Tajuddin itu sekali gus menyaksikan ahli politik dilantik sebagai duta yang lazimnya diisi oleh golongan diplomat.

Sebelum ini, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga seorang ahli politik pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia di zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Tajuddin, 74, pernah menyertai delegasi rasmi ketika lawatan kerja Perdana Menteri ke Indonesia bertemu Presiden Joko Widodo pada November lalu.

Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq bagi mengetuai anggota kedutaan negara di sana.