Muhyiddin terima kunjungan hormat delegasi Singapura, Australia

Muhyiddin ketika pertemuan dengan Dr Vivian Balakrishnan
Muhyiddin ketika pertemuan dengan Dr Vivian Balakrishnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat dua delegasi antarabangsa dari Singapura dan Australia pada Rabu.

Menurutnya, kunjungan pertama diterima daripada Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang kini dalam rangka kunjungan rasmi ke Malaysia pada minggu ini.

Turut menyertai kunjungan hormat tersebut adalah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

"Pelbagai perkara disentuh semasa perbincangan tersebut, antaranya hubungan dua hala Malaysia dan Singapura serta pengurusan pasca pandemik Covid-19 termasuk pemulihan ekonomi kedua-dua negara.

"Dalam pertemuan itu saya menekankan isu pemulihan ekonomi dalam bidang pelancongan ekoran pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang berjalan dengan jayanya yang mana warga Singapura telah mula mengunjungi tempat-tempat pelancongan di Malaysia terutamanya di Johor.

"Kekerapan dan destinasi penerbangan antara perkara yang perlu ditingkatkan di antara kedua-kedua negara bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau pada masa sama menambah, kedua-dua negara turut bersetuju mengenai kebimbangan harga bahan mentah global yang semakin meningkat naik akibat pelbagai faktor luar.

"Selain itu isu sekuriti makanan turut disentuh dalam perbincangan tersebut.

"Akhir sekali, Menteri Luar Singapura menyampaikan penghargaan kerajaan Singapura di atas segala bantuan dan pemudah cara sewaktu kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri, terutamanya ketika wabak Covid-19 mula melanda kedua-dua negara,"katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan berasingan, Muhyiddin turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee.

Katanya, antara perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut adalah berkaitan pemulihan ekonomi Malaysia dan Australia, isu politik dan kenaikan harga barang mentah global.

"Pertemuan turut menyentuh hubungan baik di antara Malaysia dan Australia.

"Dr Justin turut menyampaikan penghargaan kerajaan Australia kepada saya dalam meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sepanjang kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

Muhyiddin pada masa sama turut menyatakan komitmen beliau untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang kini dirangka secara lebih komprehensif serta inklusif bagi memastikan pemulihan seterusnya yang bersifat menyeluruh.