Rasuah: Peniaga warga Bangladesh dijel sehari, didenda RM10,000

Mostafa dijatuhkan hukuman denda dan penjara sehari selepas mengaku bersalah cuba merasuah pengkuat kuasa, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu
Mostafa dijatuhkan hukuman denda dan penjara sehari selepas mengaku bersalah cuba merasuah pengkuat kuasa, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang peniaga warga Bangladesh cuba merasuah seorang pegawai penguat kuasa pada Januari lalu membawa padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000.

Tertuduh, Mostafa Mohammad, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mostafa memberikan wang tunai sebanyak RM250 kepada Pegawai Penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit Nur Mostafa.

Pemilik premis perniagaan itu melakukan perbuatan tersebut setelah melanggar syarat-syarat lesen iaitu menjual arak tanpa lesen, menjual rokok tanpa cukai, membela ayam hidup untuk jualan dan meletakkan barang dagangan di kaki lima sehingga menimbulkan halangan.

Mostafa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP kira-kira jam 12 tengah hari, 19 Januari lalu.

Bagi perbuatan tersebut, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Lelaki itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Hussin Othman.

Dalam rayuannya, Hussin memberitahu anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan mempunyai tanggungan dua anak berusia tiga dan lima tahun manakala isterinya tidak bekerja.