PLKI-ECRL tawar 5,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan

Zaidi (kanan) bersama Pengarah Infra Malaysia Rail Link (MRL) Nor Rizan Md Akhir (tengah) meraikan tetamu semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ECRL di Kota Bharu pada Rabu.
Zaidi (kanan) bersama Pengarah Infra Malaysia Rail Link (MRL) Nor Rizan Md Akhir (tengah) meraikan tetamu semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ECRL di Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCC-ECRL) menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada anak muda di Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi Program Latihan Kemahiran Industri - Projek Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (PLKI-ECRL).

Ketua Bahagian Strategi Malaysia Rail Link (MRL), Zaidi Sharif berkata, melalui PLKI-ERCL pihaknya menawarkan kekosongan melibatkan tenaga kerja bagi fasa pembinaan membabitkan seramai 1,800 orang.

"Untuk fasa operasi pula, kita tawarkan kekosongan berjumlah 3,200 orang di bawah PLKI-ECRL," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ECRL di sini pada Rabu.

Menurutnya, kekosongan tenaga kerja itu masih lagi banyak memandangkan projek berkenaan masih rancak berjalan ketika ini.

Beliau berkata, menerusi program itu setiap peserta akan diberikan latihan selama dua bulan bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan berkait dengan bidang kerja berkenaan.

Zaidi berkata, sebulan pertama para peserta ini akan ditempatkan di sekitar kawasan Pantai Timur.

"Bulan kedua pula akan dihantar mengikuti latihan amali di tapak ECRL yang sebenar. Mereka yang menyertai program ini diberi jaminan pekerjaan selepas itu.

"Sejak ia dilancarkan pada 2018 seramai lebih 500 orang telah diberikan peluang perkerjaan di bawah PLKI-ECRL," katanya.

Zaidi berkata, diharap warga Pantai Timur dapat merebut peluang tersebut dan pihaknya menyasarkan seramai 1,800 anak muda bakal menyertai PLKI-ECRL dalam masa terdekat.