Semua aktiviti pendakian di Perak dihentikan serta-merta

Saarani (dua dari kiri) ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya pada Rabu.
Saarani (dua dari kiri) ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengarahkan semua aktiviti pendakian dan rekreasi di kawasan hutan simpan di negeri ini dihentikan sementara memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan tersebut berkuat kuasa serta-merta melibatkan 14 kawasan rekreasi sehingga suatu tempoh yang dirasakan selamat untuk kembali dibuka kepada orang ramai.

Menurutnya, arahan tersebut dibuat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada pendaki dan pengunjung hutan lipur di negeri ini.

"Di Perak ini, ada 14 kawasan rekreasi atau riadah di mana ada air terjun dalam kawasan hutan simpan di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri Perak termasuk beberapa kawasan yang memang kita buka kepada orang ramai untuk berkelah, mandi-manda di situ.

"Kita nasihatkan kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada orang ramai. Nampaknya bertimpa-timpa peristiwa sama berlaku. Kita hendak tutup supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya pergi ke tempat berkenaan," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Exco-exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Saarani berkata, Jabatan Perhutanan negeri juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada pendaki dengan menguatkuasakan penggunaan malim gunung.

Menurutnya, SOP baharu itu diperkenalkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku walaupun pendaki tersebut mempunyai permit masuk ke dalam hutan simpan.

"Memang ada permit yang kita keluarkan untuk peminat mendaki ini naik (ke gunung). Kalau ikut jadual, kita tahu pukul berapa mereka masuk dan pukul berapa mereka keluar, tetapi sesetengah itu dia sama ada masuk tidak ikut jadual atau pinda jadual tidak maklum kepada kita, jadi kita tidak tahu apa berlaku sebenarnya.

"Jadi kita akan tengok SOP mendaki ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani turut memaklumkan satu lagi kes kematian membabitkan pendaki yang berlaku pada malam Selasa.

Menurut Saarani, seorang lelaki berusia 66 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belah berhampiran sempadan Perak dan Kelantan bersama 14 orang pendaki.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kepenatan dan tindakan telah diambil untuk membawa turut mangsa menggunakan helikopter.