X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Pemanah gandingan negara terlepas emas recurve berpasukan campuran

Khairul Anuar dan Syaqiera
A
A

HASRAT kem memanah negara untuk merangkul pingat emas sulung di Sukan SEA ke-31 tidak kesampaian selepas gandingan Khairul Anuar Mohamad-Syaqiera Mashayikh tewas dalam aksi penentuan pingat emas recurve berpasukan campuran pada Rabu.

Pada aksi di Pusat Latihan Sukan Nasional di sini, pasangan negara yang memulakan aksi dengan baik berdepan gandingan Indonesia Riau Salsabilla Ega Agata-Reza Octavia gagal mengekalkan momentum sebelum tewas 2-6 sekali gus membawa pulang perak.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik wakil Vietnam Thi Anh Nguyet Do-Van Linh Nong yang melakar kemenangan 5-3 ke atas Jason Emmanuel Feliciano Zuleuta-Pia Elizabeth Angel Bidaure Marino dari Filipina.

Khairul Anuar berkata, tidak timbul istilah terlalu yakin selepas mencipta panahan sempurna di awal saingan namun mengakui ia sedikit sebanyak mengubah pendekatan yang akhirnya membawa padah.

"Apabila sudah dapat markah yang baik kita nak lebih lagi dan fokus kita pada panahan semakin longgar. Di situlah kesilapan saya sendiri, selain itu aksi panahan saya di sini juga agak kurang.

"Tetapi dalam apa keadaan sekalipun saya berpuas hati sebab kita sentiasa buat terbaik, kita tidak mempertikaikan kemenangan sebab kita sudah buat yang termampu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Perkara sama turut dikongsikan Syaqiera yang berkata: "Berdasarkan saingan awal memang saya dah dapat teknik itu sebab saya tidak berfikir sangat dan hanya mahu melepaskan panahan tetapi kemudian saya mula berfikir dan ditambah dengan saingan sengit diberikan Indonesia.

Pada masa sama, Khairul Anuar dan Syaqiera masing-masing turut merangkul gangsa acara recurve individu lelaki dan wanita, malah terdahulu Khairul juga menyambar gangsa recurve berpasukan lelaki bersama Bryson Tiew dan Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli menewaskan trio Filipina 6-2.

Dalam saingan perebutan pingat gangsa recurve individu, Khairul Anuar mengatasi Linh Nong 6-4 manakala Syaqiera menewaskan pemanah Thailand Punika Jongkraijak 6-5.

Pingat emas dan perak acara recurve individu lelaki menjadi milik Indonesia selepas Arif Pangestu Dwi menewaskan Riau Salsabilla 6-2 sementara Rezza memastikan pencapaian gemilang buat Indonesia apabila merangkul emas dengan mengatasi Narisara Khunhiranchaiyo dari Thailand 6-0 bagi saingan wanita.

Dalam pada itu, trio negara dibarisi Nur Ain Ayuni Fozi, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Syaqiera tidak berjaya mengutip pingat acara recurve berpasukan wanita apabila tewas kepada Myanmar 4-5 dalam perlawanan perebutan gangsa. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!