Guna kereta sewa curi kabel elektrik

A Asmadi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini pada Rabu.
A Asmadi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis menahan empat lelaki termasuk seorang bekas pengawal keselamatan disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel elektrik di sebuah bangunan di Alamanda Putrajaya, 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 31 tahun itu ditahan secara berasingan di Dengkil, Sepang pada 12 Mei dan 13 Mei lalu.

"Modus operandi penjenayah ini ialah menggunakan kereta sewa untuk melakukan kegiatan mencuri kabel elektrik sebelum menjualnya di premis barang lusuh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini pada Rabu.

A Asmadi memberitahu, salah seorang suspek yang ditahan merupakan anak kepada pemilik premis barang lusuh.

"Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal, satu beg galas, dua sarung tangan, peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel elektrik, wayar kabel bumi dan satu batang besi," katanya.

Tambah beliau, ujian urin mendapati tiga daripada suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.