'Jika di luar negara, Yasin akan dirai' - Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] "Jika Yasin berada di 40 buah negara yang membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan, dia akan dirai dan berbeza dengan negara ini kerana dia berdepan pertuduhan jenayah," kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Syed Saddiq yang juga Pengerusi Kaukus Medical Cannabis berkata, mengambil isu sama di luar negara, Yasin tidak akan berada di lokap dan tunggu untuk dibicarakan selama berbulan-bulan, tetapi akan dibantu kerana perbuatannya dilihat sebagai penyakit.

"Undang-undang sudah lapuk, ketinggalan zaman, 70 tahun tidak diperbaharui, selaku penggubal undang-undang, saya bertanggungjawab untuk memastikan peraturan negara mengikut perkembangan arus semasa.

"Malangnya dalam bab ini, undang-undang berkaitan kanabis tidak diperbaharui," katanya selepas prosiding kes membabitkan penyanyi nasyid, Muhammad Yasin atau lebih dikenali sebagai Yasin yang berdepan pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar dadah jenis sama.

Ahli Parlimen Muar itu turut menggesa kerajaan supaya mengiktiraf bahawa terdapat ramai pesakit di negara ini memerlukan kanabis untuk perubatan.

Menurut beliau, ia bukan sahaja melibatkan penyanyi berkenaan tetapi ramai lagi yang melalui perkara sama serta tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau menegaskan bahawa golongan itu bukan termasuk dalam kumpulan yang mengedar kanabis untuk keuntungan.

Maka, katanya, sudah tiba masa, Malaysia mengikut jejak langkah lebih 40 buah negara di seluruh dunia supaya mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.

Selain itu, Syed Saddiq turut menyentuh mengenai perbincangannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penggunaan kanabis.

Pada pertemuan tersebut, beliau berkata, ada menerima maklum balas positif bahawa Perdana Menteri akan membawa isu itu ke Kabinet.