KDN siasat dakwaan data peribadi rakyat Malaysia dijual

Hamzah ketika bertemu para pengamal media pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Hamzah ketika bertemu para pengamal media pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan data peribadi jutaan rakyat Malaysia dijual dengan harga AS$10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini tiada bukti kukuh mengatakan maklumat itu diperoleh daripada pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Siasatan sedang dibuat, orang boleh cakap data-data itu dapat daripada JPN. Kita ada mekanisme yang buktikan bahawa ia bukan datang daripada JPN,” katanya pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KDN 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Hamzah berkata demikian ketika mengulas mengenai laman sesawang teknologi Lowyat.net yang menunjukkan set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh populasi 22 juta rakyat negara ini dijual dengan harga tertentu di forum pasaran pangkalan data.

“Contohnya yang lepas kita akhirnya buktikan ianya bukan datang daripada Jabatan Pendaftaran Negara tapi beberapa agensi yang kita berikan ruang untuk mereka menerima maklumat daripada kita,” katanya.

Hamzah berkata ketika ini terdapat keperluan untuk JPN mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tentang keperluan pihak ketiga mendapatkan terus maklumat daripada agensi berkenaan.