7,564 pemandu langgar had laju kamera AWAS

Seramai 7,564 pemandu melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikesan menerusi empat kamera AWAS di Melaka. Gambar kecil: Muhammad Firdaus
Seramai 7,564 pemandu melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikesan menerusi empat kamera AWAS di Melaka. Gambar kecil: Muhammad Firdaus
A
A
A

MELAKA - Seramai 7,564 pemandu melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikesan menerusi empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di kawasan negeri ini dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam tempoh 10 hari Ops HRA bermula pada 29 April hingga 8 Mei lalu mendapati, saman yang paling tinggi dikesan kamera AWAS adalah di Kilometer (KM) 214.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Alor Gajah arah selatan dengan 2,834 pesalah direkodkan.

Menurutnya, ia diikuti kamera di KM214. 4 Lebuhraya PLUS Alor Gajah arah utara dengan 2,679 saman dan KM184.2 Lebuhraya PLUS Jasin arah utara (1,055 saman).

"Lokasi KM185 Lebuhraya PLUS Jasin arah selatan merekodkan paling rendah saman iaitu sebanyak 996 pesalah sahaja.

"Hari paling tinggi saman dikeluarkan terhadap pemandu iaitu pada 2 Mei lalu dengan jumlah 1,213 saman.

"Kesemua pesalah akan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang Ops HRA lalu, sebanyak 88 saman telah dikeluarkan dan daripada angka itu 23 adalah kesalahan tidak mematuhi isyarat lalu lintas termasuk melanggar lampu merah.

"Kesalahan tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dikesan sebanyak 18 saman dan membawa lebih muatan mencatatkan 15 saman," katanya.