Jadikan kawasan Felda gedung makanan negara

Mohd Mokhtar ketika ditemui Sinar Harian semasa majlis pembukaan restoran DPBF, Seri Puteri Cafe yang terletak di Batu Caves, di sini, pada Rabu.
Mohd Mokhtar ketika ditemui Sinar Harian semasa majlis pembukaan restoran DPBF, Seri Puteri Cafe yang terletak di Batu Caves, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kawasan di bawah pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seharusnya dijadikan sebagai antara gedung pengeluaran makanan utama negara seperti ternakan ayam dan lembu.

Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera Felda (DPBF), Datuk Mohd Mokhtar Ghazali berkata, wilayah pembangunan luar bandar itu memiliki potensi baik untuk dikembangkan bagi tujuan tersebut dan seterusnya memenuhi keperluan makanan di Malaysia.

“Dengan mengambil kira masalah dihadapi negara dalam isu contohnya harga ayam dan ternakan yang mahal, jadi kenapa pihak Felda tidak menganjurkan ternakan ayam secara komersial.

“Saya juga melihat Felda mampu mewujudkan sumber makanan untuk ternakan tadi (melalui hasil kelapa sawit).

“Selain itu, dalam Felda sendiri banyak tanah kosong dan terbiar yang boleh dijadikan sebagai kawasan industri untuk produk ternakan,” katanya ketika ditemui semasa majlis pembukaan restoran DPBF, Seri Puteri Cafe yang terletak di Batu Caves, di sini, pada Rabu.

Hadir sama ialah Penasihat DPBF yang juga bekas Profesor di Pusat Penyelidikan Sains Maklumat Geospatial Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Shattei Mansor.

Mohd Mokhtar (tujuh dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir semasa majlis pembukaan restoran DPBF, Seri Puteri Cafe yang terletak di Batu Caves, di sini, pada Rabu.
Mohd Mokhtar (tujuh dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir semasa majlis pembukaan restoran DPBF, Seri Puteri Cafe yang terletak di Batu Caves, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Mokhtar berkata, untuk menjayakan idea tersebut, Felda perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Tambah beliau, langkah tersebut sekiranya berjaya dilaksanakan bukan sahaja dapat membantu negara menghasilkan makanan sendiri tetapi juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi Felda di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar berkata, Felda seharusnya mengambil inisiatif melatih generasi baharu yang berada di dalam kawasan pembangunan tersebut untuk menceburi bidang perniagaan ekonomi hiliran desa termasuk makanan yang menurutnya mempunyai nilai mencecah jutaan ringgit.

“Saya rasa anak Felda menunggu dan akan menerima apa sahaja cadangan diaturkan yang boleh membantu mereka untuk membentuk ekonomi baharu dalam suasana pembangunan yg kita lihat hari ini.

“Kita lihat walaupun ekonomi merudum, tapi dalam soal potensi penghasilan makanan oleh industri kecil dan sederhana (IKS) ini, ia sudah jadi keperluan utama rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembukaan restoran tersebut, Mohd Mokhtar berkata, kedai makan tersebut merupakan antara platform diwujudkan DPBF sebagai platform memasarkan hidangan dan makanan tradisional.

Katanya, antara menu ditawarkan di restoran itu adalah ikan tengas, patin, baung dan sayuran kampung dan ladang yang diambil terus daripada penternak serta peladang di luar bandar.

“Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan kerana kita dapat terus daripada penternak tanpa orang tengah,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, sebanyak lebih kurang lima hingga enam lagi cawangan restoran tersebut dijangkakan akan dibuka pada tahun ini di sekitar Lembah Klang.