KM19.2 Jalan Ranau-Kiulu tutup sementara akibat runtuhan cerun

KM 19.2 Jalan Ranau-Kiulu ditutup sementara akibat runtuhan cerun. - Foto Bernama
KM 19.2 Jalan Ranau-Kiulu ditutup sementara akibat runtuhan cerun. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Kilometer 19.2 Jalan Ranau-Kiulu ditutup sementara selepas berlaku runtuhan tebing di kawasan berkenaan akibat hujan lebat petang Selasa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, orang awam yang menggunakan Jalan Kiulu- Rondogung menghala Ranau disarankan mengikut laluan alternatif di Jalan Tamparuli-Ranau.

"Lokasi tebing yang runtuh adalah di Jalan Pukak-Pahu-Nulu di Kilometer 19.2. Ia ditutup 12 tengah malam tadi selepas JKR menerima aduan berhubung kejadian berkenaan," menurut kenyataan itu, pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, runtuhan berkenaan berlaku kira-kira 3 petang semalam dan laluan ditutup atas faktor keselamatan pengguna.

Berikutan itu, pengguna jalan raya khususnya di kawasan berkenaan disarankan untuk menggunakan jalan alternatif Tamparuli-Ranau-Tamparuli (Tamparuli - Tomis - Tiong - Lokub) bagi mengelak kejadian tidak diingini dan diminta agar sentiasa berhati-hati.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sejurus menerima aduan kejadian bencana kegagalan cerun yang terletak di kawasan berkenaan, beliau telah menghubungi Jurutera Daerah JKR Tuaran untuk menutup jalan berkenaan.

"Walaupun saya berada di luar negara pada ketika ini namun saya senentiasa memantau perkembangan di kawasan parlimen saya. Puan Jurutera Daerah juga memaklumkan kepada saya bahawa pihak konsesi yang bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan jalan raya tersebut," tambahnya dalam kenyataan berasingan. - Bernama