Pendirian Pas kekal mahu PRU15 hingga tamat penggal

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tetap kekal dengan pendirian mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan sebaik sahaja tamat penggal selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu bagi membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan dasar kerajaan dalam usaha memulihkan sektor ekonomi dan kesihatan negara ini.

"Pendirian kita dalam isu ini terus kekal. Jika PRU15 diadakan lebih awal, Pas bimbang segala perancangan kerajaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurutnya, Pas mahu semua parti-parti politik bersabar dan menunggu sehingga tempoh PRU14 tamat.

Beliau berkata, hal ini kerana kurang setahun sahaja lagi Dewan Rakyat akan dibubarkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, bagaimanapun perkara tersebut merupakan bidang kuasa dan keputusan Perdana Menteri.