Laluan kecemasan, alat pemadam api penting dalam premis

Pasukan yang mengambil bahagian dalam Perlawanan Tenpin Boling Berpasukan antara agensi kerajaan dan media di Kompleks Central Square pada Selasa.
Pasukan yang mengambil bahagian dalam Perlawanan Tenpin Boling Berpasukan antara agensi kerajaan dan media di Kompleks Central Square pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Laluan kecemasan dan alat pemadam api antara aspek keselamatan yang perlu diberi keutamaan sekiranya berada di premis sama awam atau persendirian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zain berkata, penekanan terhadap aspek keselamatan itu penting jika berlaku kecemasan.

"Setiap premis sepatutnya dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memudahkan tindakan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika menyertai Perlawanan Tenpin Boling Berpasukan antara agensi kerajaan dan media di Kompleks Central Square di sini, pada Selasa.

Menurutnya, selain memenuhi jemputan acara riadah, pihaknya turut memantau aspek keselamatan di premis tersebut sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan (Pendidikan Khas) Mohd Sufi Hassan berkata, perlawanan boling antara agensi mengeratkan hubungan antara kakitangan awam dan swasta.

"Ia juga sesuai dipraktikkan pada pelajar pendidikan khas yang boleh dijadikan satu terapi dalam usaha membantu proses pemulihan sekali gus menyihatkan badan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Kompleks Central Square, Loong Jee Yung berkata, penganjuran itu bertujuan meraikan rakan strategik atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan selama ini.

Menurutnya, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda diumumkan juara dengan jatuhan pin sebanyak 1,471, diikuti pasukan Bomba dengan jatuhan pin sebanyak 1,342 dan tempat ketiga milik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan jatuhan pin sebanyak 1,264.

Antara pasukan lain mengambil bahagian termasuklah dari Hospital Sultan Abdul Halim, media dan kakitangan Kompleks Central Square.