RTS dijangka kurangkan 35 peratus penggunaan Tambak Johor

Mohd Zarif pada sidang akbhar selepas sesi Visit By The Wharton School, University of Pennsylvania to RTS Link Project di Menara Jland, Johor Bahru pada Rabu.
Mohd Zarif pada sidang akbhar selepas sesi Visit By The Wharton School, University of Pennsylvania to RTS Link Project di Menara Jland, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dijangka dapat mengurangkan 35 peratus penggunaan di Tambak Johor apabila mula beroperasi pada 2027 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim berkata, apabila beroperasi kelak RTS mampu menarik hampir 122,500 daripada 350,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor dalam sehari.

"Tempoh perjalanan juga dapat dipendekkan kepada 15 minit termasuk urusan imigresen berbanding ketika ini yang boleh menjangkau sehingga satu jam yang mana setiap lima minit adalah tempoh pengguna berurusan di kaunter Imigresen di Stesen Bukit Chagar di sini dan stesen Woodland North, Singapura serta tempoh perjalanan tren itu sendiri.

"Seperti kita tahu kapasiti RTS mampu menampung 10,000 penumpang untuk satu jam.

"Kalau kita lihat kapasiti 10,000 penumpang ini, kita boleh capai atau kurangkan kesesakan trafik kira-kira 35 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Visit By The Wharton School, University of Pennsylvania to RTS Link Project di Menara Jland di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perkembangan projek berkenaan berjalan lancar mengikut jadual dan kini mencapai 15 peratus yang membabitkan pembinaan struktur rel.

Sementara itu, Mohd Zarif memberitahu, MRT Corp dalam proses mengkaji semula sistem penyuraian trafik dengan melibatkan Lebuhraya Penyuraian trafik Johor Bahru (EDL).

Katanya, kajian masih di peringkat perbincangan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Dalam masa yang sama juga, kita sedang mengkaji semula berkenaan dengan trafik 'disposal skim' yang kita ada kini lebih tertumpu di Jalan Tun Razak yang merupakan jalan utama dan amat sesak.

"Apa yang kita laksanakan kini (ialah) kita mengkaji semula untuk melibatkan dan menggalakkan pembangunan Johor Bahru, kalau boleh libatkan akses secara terus RTS dengan EDL," katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh beberapa bulan lagi maklumat berkenaan perbincangan kajian itu akan diperoleh.