Aliakbar tawar diri bertanding pada PRU15

Aliakbar ketika ditemui pemberita selepas hadir Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu pada Rabu.
Aliakbar ketika ditemui pemberita selepas hadir Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Pas Sabah juga berhasrat untuk meletakkan calon di beberapa kerusi lain di Parlimen negeri ini pada PRU nanti.

"Pas mengharapkan kita meletakkan calon dalam PRU15, kita berterus terang. Ada kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang dan gerak kerja sudah kita teruskan kepada masyarakat.

"Kita meletakkan sasaran pasti kita akan bertanding pada PRU walaupun kita tidak sebutkan kerusi," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah bagaimanapun tidak menolak bahawa Parlimen Sepanggar antara kerusi yang menjadi sasaran Pas Sabah.

"Mungkin (Sepanggar), kalau media mengatakan begitu, saya katakan iya. Saya akan bertanding (PRU15) Insya-ALLAH," katanya.

Diminta mengulas lanjut berhubung calon yang akan dikemukakan Pas Sabah, beliau memaklumkan ketika ini pihaknya sudah mengenal pasti calon dan sudah berada di peringkat akhir perbincangan.

"Calon semua sudah ada, saya boleh katakan di peringkat akhir untuk menentukan calon-calon dan kita meletakkan calon di kalangan mereka yang profesional, berpendidikan serta sebahagiannya adalah anak muda.

"Kita juga akan mencadangkan calon dari bukan Islam, paling kurang pun seorang, bagaimanapun kita masih bincang secara dalaman," katanya.

Mengulas berhubung perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai hasrat untuk meletakkan calon, Pas sentiasa mengutamakan perbincangan bersama dengan rakan politik yang ada.

"Ya pasti (perbincangan), kita meraikan kerjasama ini, kita tidak akan buat keputusan sendiri. Pas dari dulu, di mana-mana pun kita berkawan, kita akan mengutamakan perbincangan bersama," katanya.