X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Aktiviti pembukaan tanah hutan antara punca banjir di Johol

Keadaan di kawasan kampung di Johol selepas hujan lebat pada Isnin. - Foto media sosial. Gambar kecil: Saiful Yazan
A
A

KUALA PILAH - Aktiviti pembukaan tanah hutan di sekitar kawasan Johol di sini dipercayai menjadi antara penyumbang kepada kejadian banjir luar biasa yang berlaku pada Isnin di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman berkata, kejadian banjir kali ini menyebabkan laluan di jalan Kampung Batu-Inas berlaku runtuhan tanah, cerun dan pokok tumbang.

"Saya sudah bercakap soal hutan di sini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya mengenal pasti apa masalah banjir yang berlaku di kawasan Johol ini sebab akhir ini terlalu mudah sangatkan terkena banjir.

".. dan apa yang saya dapat laporan awal mengatakan banyak pembukaan-pembukaan ladang yang diluluskan oleh pihak-pihak yang tertentu maka ini kita kena semak balik," katanya ketika ditemui pemberita di jalan Kampung Batu- Inas pada petang Selasa.

Saiful Yazan (kanan) ketika meninjau sekitar laluan di Jalan Kampung Batu-Inas.
Saiful Yazan (kanan) ketika meninjau sekitar laluan di Jalan Kampung Batu-Inas.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, jalan Kampung Batu- Inas ditutup untuk semua kenderaan berikutan hujan kira-kira dua jam sejak tengah hari menyebabkan limpahan air luar biasa sekali gus berlaku runtuhan tanah, cerun dan pokok tumbang.

Selain itu, berlaku banjir kilat di kediaman penduduk di sekitar kawasan Johol sebelum dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka lebih kurang jam 11 malam di PPS Dewan Desa Dangi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol.

Bagaimanapun, kedua-dua PPS tersebut ditutup sepenuhnya pada tengah hari Selasa selepas keadaan banjir surut dan kawasan kediaman terlibat selamat untuk diduduki.

Saiful Yazan berkata, dimaklumkan juga ada pembukaan untuk tanaman semula milik individu seperti pokok getah di mana ia di luar pengetahuan awal pihaknya.

" Selain itu saya difahamkan ada kerja- kerja pembalakan yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri, kita yakin dan percaya ia merupakan antara penyumbang terhadap masalah yang dihadapi sekarang (banjir).

" Oleh itu, kita perlu merujuk baliklah dengan pihak berkuasa negeri supaya kita boleh kenal pasti siapa sebenarnya (bertanggungjawab) dan juga berapa besar kawasan yang dibuka untuk tujuan-tujuan komersial di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Dingkir Inas, Shahran Hussin, 56 berkata, ibunya memaklumkan kali terakhir banjir besar berlaku adalah pada tahun 1951.

" Saya boleh katakan kejadian banjir kali ini adalah yang agak teruk selepas banjir Januari lepas," katanya.

Penduduk yang juga Siak Masjid Kampung Kabung Inas, Razali Md Din, 71 berkata, air naik ke dalam masjid hampir dua meter berbeza banjir pada awal tahun ini lebih kurang satu meter.

" Tembok masjid juga runtuh disebabkan air terlalu deras," katanya.

Dalam pada itu, Kudus Mustaffa, 53 dari Kampung Ulu Inas berkata, berharap kejadian banjir ini tidak lagi berulang berikutan ia menyebabkan pelbagai kerosakkan harta benda penduduk.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!