Hasenhuttl akui kecewa Southampton tewas

Hasenhuttl - Foto PA Wire
Hasenhuttl - Foto PA Wire
A
A
A

PENGENDALI Southampton, Ralph Hasenhuttl mengakui kecewa setelah tewas 1-2 kepada Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St Mary pada Rabu.

Menurut Hasenhuttl, biarpun berjaya mengejutkan The Reds apabila membuka jaringan pada minit ke-13, namun kealpaan benteng pertahanan The Saints menyaksikan pelawat berjaya bangkit dengan menjaringkan dua gol bagi mencatatkan kemenangan.

“Kami telah cuba sedaya upaya pada perlawanan ini dan secara keseluruhannya, jaringan kedua dihasilkan Liverpool nyata mengecewakan kami.

“Kita tidak seharusnya melepaskan gol pada detik seperti itu lagi pun, mereka (Liverpool) tidak mempunyai banyak peluang pada separuh masa kedua, tetapi kita semua boleh melihat kualiti yang dipamerkan.

“Secara keseluruhannya, kita telah bermula dengan baik dan memberikan yang terbaik namun mereka berjaya menyamakan kedudukan dengan gol cantik dan kemudiannya bermain secara bertahan hingga ke penghujung permainan,” katanya.

Southampton membuka jaringan pada minit ke-13 namun Takumi Minamino menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-27 dan Joel Matip menanduk masuk gol kedua pada minit ke-67 bagi memastikan kemenangan pelawat.

Kemenangan Liverpool menyaksikan mereka hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Manchester City.

Mengulas lanjut Hasenhuttl berkata, ada banyak perkara yang dilakukannya dalam usaha menambah baik pasukan berkenaan pada musim panas nanti.

Katanya, biarpun objektif untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super namun sesuatu perlu dilakukan bagi mewujudkan pasukan yang mantap musim depan.

“Prestasi turun naik pasukan musim ini merupakan perkara biasa. Yang penting, kita masih mampu untuk meneruskan aksi dalam saingan EPL katanya.