Warga emas cedera dipukul tiga penyamun

Mangsa cedera selepas dipukul tiga suspek yang menyamun sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili pada Selasa.
Mangsa cedera selepas dipukul tiga suspek yang menyamun sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang warga emas cedera di bahagian kepala dan kaki kanan selepas dipukul tiga penyamun di sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila suspek memecah masuk dan mencederakan mangsa yang merupakan penjaga rumah sarang burung berkenaan.

"Suspek mengikat mangsa dan mencederakannya menggunakan senjata dipercayai besi.

Seterusnya suspek melarikan tiga guni sarang burung dianggarkan seberat tiga kilogram dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM11,500.

"Mangsa yang mengalami kecederaan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan menerima 10 jahitan di jari kaki kanan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Nik Azaham, keadaan mangsa stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang selepas dirawat.

"Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan cedera.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.