Siva Kumar dilantik Pengarah Maritim Selangor baharu

Siva Kumar (kiri) dilantik sebagai Pengarah Maritim Selangor baharu menggantikan Mohammad Rosli (kanan) dengan disaksikan Saiful Lizan.
Siva Kumar (kiri) dilantik sebagai Pengarah Maritim Selangor baharu menggantikan Mohammad Rosli (kanan) dengan disaksikan Saiful Lizan.
A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Tawau, Kepten V Siva Kumar dilantik menjadi Pengarah Maritim Selangor yang baharu berkuat kuasa Selasa.

Pelantikan Siva Kumar bagi menggantikan Kepten Mohammad Rosli Kassim yang bertukar mengisi penjawatan sebagai Ketua Cawangan Operasi Risikan Maritim Putrajaya.

Penyerahan serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Selangor disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Dalam pada itu, Saiful Lizan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohammad Rosli yang berkhidmat di Maritim Selangor lebih tiga tahun bermula 16 Ogos 2018 di atas segala bakti menjaga keselamatan dan keamanan perairan Selangor.

"Maritim Selangor telah melaksanakan 2,301 hari di laut, 6,849 pemeriksaan dan 257 tangkapan sejak 2018 hingga April tahun ini.

"Saya berharap legasi pencapaian cemerlang Maritim Selangor dapat diteruskan demi mencapai misi dan visi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Selangor di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Rabu.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, beliau akan meneruskan usaha dalam mengekang kegiatan jenayah di perairan khususnya di Selangor.

"Kita akan dapatkan maklumat menerusi risikan bagi memantau semua aktiviti di lautan," ujarnya.