Kes buli pelajar sekolah masih tiada kesudahan

No Image Caption
A
A
A

DARI dulu hingga sekarang, isu buli terutama melibatkan pelajar sekolah masih lagi tiada kesudahan.

Boleh dikatakan setiap tahun isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial, malah terus mendapat liputan media dari masa ke masa.

Terkini, pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Labu, Negeri Sembilan dipercayai dibuli dan dipukul oleh pelajar senior.

Ia susulan pihak polis pada Isnin mengesahkan menerima laporan daripada tiga orang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah berasrama penuh di Nilai, Negeri Sembilan yang mendakwa telah dipukul pelajar Tingkatan Empat sekolah yang sama sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa anggota badan.

Selang tiga minggu sebelum itu, negara juga digemparkan dengan isu buli melibatkan tangkapan 13 orang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Langkawi, Kedah yang sebelum itu tular di media sosial.

Lebih mengejutkan, mangsa buli itu dipukul beramai-ramai termasuk dibaling dengan meja.

Justeru, dalam kes buli tersebut siapa yang harus dipersalahkan? Adakah ibu bapa, guru atau pihak berkuasa kerana tidak begitu peka dengan keadaan semasa.

Hukuman yang dikenakan ke atas pembuli juga dikatakan kurang berkesan, malah tidak menakut-nakutkan mereka yang terus terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

Timbul juga persoalan adakah undang-undang sedia ada harus ditambah baik ataupun dipinda?

Sebelum ini, Pensyarah Undang-Undang, Perlembagaan dan Hak Asasi, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar pernah mencadangkan agar satu undang-undang khusus berkaitan perbuatan buli terhadap pelajar perlu diwujudkan demi mengatasi semua jenis buli baik secara mental, emosi dan fizikal.

Ia berikutan, katanya, ketika ini tiada undang-undang khusus untuk perbuatan buli, sama ada dalam undang-undang jenayah seperti Kanun Keseksaan mahupun undang-undang sivil seperti Akta Pendidikan 1996, malah tiada undang-undang yang memberikan definisi ‘buli’.

Justeru, semua pihak khususnya kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengawal kes buli ini daripada terus berlarutan.

Ada pihak berpendapat, penguatkuasaan disiplin perlu dipertingkatkan terutama di semua sekolah berasrama bagi membendung perbuatan membuli dalam kalangan pelajar.