Rombak KDA FC, kembalikan prestasi sebenar

Pertahanan NS FC, Herold Goulon (kanan) cuba merampas kawalan bola daripada pemain KDA FC, Al Hafiz Harun di Stadium Darul Aman pada malam Selasa. - Foto MFL
Pertahanan NS FC, Herold Goulon (kanan) cuba merampas kawalan bola daripada pemain KDA FC, Al Hafiz Harun di Stadium Darul Aman pada malam Selasa. - Foto MFL
A
A
A

PERUBAHAN besar bakal dilaksanakan Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang jendela kedua perpindahan pemain pada penghujung Mei ini bagi memperkuatkan pasukan menghadapi Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 pada Jun.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, rombakan tersebut perlu dilakukan selepas Sang Kenari berada pada tahap kurang memuaskan selain mengelakkan prestasi pasukan terus merundum.

Menurutnya, hanya beberapa pemain utama berada dalam kesebelasan disebabkan masalah kecederaan selain gagal menggunakan semua pemain import sejak beberapa perlawanan lalu.

"Sudah tentu kita akan membuat pertukaran (jendela kedua perpindahan pemain) kerana kita sekarang tidak berada pada prestasi yang baik.

"Selepas Dennis Buchening cedera, kita gagal beraksi dengan kelima-lima pemain import dan perubahan wajar dilakukan kerana mahu lebih baik selepas ini.

"Saya boleh katakan dua atau tiga atau mungkin lima pemain akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan ini kerana kita mahu beraksi dengan baik di pentas Piala AFC," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pasukannya terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC pada aksi kesembilan Liga Super 2022.

Mengulas lanjut, selain mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFC, beliau juga perlu mempertingkatkan kembali keupayaan Sang Kenari apabila dijadualkan berdepan juara Liga Super lapan kali, JDT bagi aksi ke-10 liga pada pertengahan Jun depan.

"Selepas ini kami tidak akan bercuti kerana banyak perkara yang perlu dibuat semasa jendela perpindahan kedua dibuka kerana KDA FC mahu kembali berada pada tahap terbaik.

"Semua pemain juga faham kerana kita perlu berusaha memastikan kecergasan mereka juga berada pada tahap terbaik," ujarnya.

KDA FC diundi dalam kumpulan G Piala AFC 2022 bersama juara Piala Copa Paulino Alcantara yang juga juara piala domestik Liga Filipina, Kaya FC Iloilo, juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United dan Visakha dari Kemboja.