Penang FC harap sokongan padu penyokong

Manzoor Azwira
Manzoor Azwira
A
A
A

PENANG FC yang ketika ini terperosok di dasar Liga Super berharap para penyokong tidak berputus asa dan terus memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Kumbang itu.

Penolong jurulatih Penang FC Manzoor Azwira berkata, pada perlawanan menentang Sabah FC dalam aksi saingan Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Bandaraya di sini malam tadi, beliau melihat ada peningkatan dalam aksi anak buahnya cuma tidak berjaya menghasilkan kemenangan untuk menaikkan semangat pasukan.

"Kami dah buat yang terbaik dan kami berjaya mencipta ruang, tapi tidak dapat hasilkan gol pada awal permainan.

"Situasi berbeza pada pasukan Sabah kerana mereka berjaya hasilkan gol pada peluang yang mereka cipta dan keadaan itu memberi tekanan kepada pasukan Penang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Sabah FC pada Selasa.

Manzoor akur dengan keputusan perlawanan itu dan akan fokus untuk memperbaiki pasukan untuk masa hadapan.

"Kami perlu tambah baik pasukan. Saya akan tunggu apa perancangan pihak pengurusan yang seterusnya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata kejayaan pasukannya dalam menghasilkan empat jaringan adalah di luar jangkaannya.

Menurutnya pemain bangkit selepas gol penyamaan dengan Penang FC dan ini menunjukkan pemain berada dalam tahap yang cukup baik terutamanya dari segi mentaliti.

Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya semalam, Sabah FC berhasil mengikat mata kedudukan dengan pasukan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menumpaskan Penang FC 4-2. - Bernama