MGB catat keputusan memberangsangkan pada suku pertama 2022

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terlibat dalam projek pembinaan dan pembangunan hartanah hari ini mengumumkan keputusan suku pertama bagi kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Bagi suku pertama, MGB mencatatkan pendapatan RM178.59 juta, iaitu peningkatan sebanyak 6.57 peratus daripada suku tahunan berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing mencatatkan sebanyak RM11.23 juta dan RM6.82 juta.

Sejajar dengan matlamat ke arah pemulihan ekonomi, segmen pembinaan dan perdagangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB. Jumlah pendapatan yang direkodkan meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM174.01 juta berbanding suku pertama bagi kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan RM155.62 juta.

Peningkatan positif pada rekod pendapatan merupakan sebahagian dari sumbangan projek-projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil dan Mercu Jalil di Bukit Jalil serta Ritma Perdana dan Melodi Perdana di LBS Alam Perdana.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, konflik Rusia dan Ukraine memberikan permulaan yang tidak begitu baik kepada keputusan suku pertama.

“Meskipun berlaku kenaikan harga bahan-bahan mentah dan kekurangan tenaga buruh, MGB terus kekal memberikan keuntungan yang stabil. Kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh yang tidak menentu ini. Perancangan perniagaan yang disiplin serta kawalan kos merupakan aspek utama yang diberi tumpuan di dalam menjalankan perniagaan kami.

“Kami telah menerima tempahan sebanyak RM1.74 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.15 bilion dibawah segmen pembangunan hartanah, dan kami menjangkakan MGB akan menjana pendapatan kira-kira RM4.00 bilion pada tahun akan datang.

“MGB turut menjangkakan penambahan pada bilangan projek pembinaan dan mengambil peluang ini untuk menawarkan tender pembinaan kepada projek Kerajaan sekiranya ada kekosongan,”katanya.

Berikutan daripada pelancaran Rumah Idaman BSP, MGB telah menerima tempahan yang luar biasa bagi 1,312 unit dan kini di dalam proses pertukaran kepada jualan bagi pembeli yang layak dan menerima kelulusan daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, pihaknya kini menantikan lima baki pelancaran projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang akan dilancarkan pada tahun ini dan tahun depan.

“Ini didorong dengan rekod jualan yang memberangsangkan bagi pelancaran terbaharu Laman Bayu Fasa 3 dan 4 dengan sejumlah 47 unit (daripada 118 unit) bagi rumah teres dua tingkat di mana nilai anggaran unit terjual yang direkodkan adalah berjumlah RM18.25 juta.

“Secara keseluruhannya, kami optimis bahawa MGB berada di dalam kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif pada tahun 2022,”katanya.