KDEBWM keluarkan 12 tan sampah sisa banjir di Hulu Selangor

Sebanyak enam buah tong RORO diletak di empat kawasan terjejas banjir kilat bagi memudahkan proses kutipan sampah. - Foto KDEBWM.
Sebanyak enam buah tong RORO diletak di empat kawasan terjejas banjir kilat bagi memudahkan proses kutipan sampah. - Foto KDEBWM.
A
A
A

HULU SELANGOR - Syarikat KDEB Waste Management (KDEBWM) berjaya mengutip sebanyak 12 tan sampah setakat 1 petang pada Selasa di beberapa kawasan di Hulu Selangor yang dilanda banjir kilat, baru-baru ini.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, operasi pembersihan sisa banjir sedang dijalankan di beberapa kawasan di daerah tersebut.

Menurutnya, KDEBWM turut menyediakan enam buah tong Roll On Roll Off (RORO) di empat kawasan yang terjejas akibat banjir kilat untuk memudahkan proses kutipan sisa banjir di kawasan terlibat.

Tambahnya, sebanyak tiga buah tong RORO ditempatkan di Kampung Jawa manakala di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, Kampung Air Panas dan Kampung Pasir masing-masing sebuah tong RORO.

"Sisa banjir penduduk akan dibawa keluar secara berperingkat dan operasi pembersihan pasca banjir dijangka berterusan selama dua hingga tiga hari kerana terdapat penduduk yang membuang sampah pukal," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.